Wednesday, June 6, 2012

Esok Tetap Kekal

Tadi, sambil aku sibuk bersilat dan berkungfu, bertomoi dengn kerja, sampai hilang charger MacBook aku, sambil aku berapi syurga meragut lalang dengan Awek Kuching yang semakin jauh dari aku, ada budak tanya aku soalan.

"Pekerjaan mana yang lebih stabil?" tanya budak itu, resah.

Aku tak pandai menipu. Setiap kali aku berbohong, pati akan menyebabkan keadaan menjadi buruk. AKu hanya tahu berkata benar.

Maka aku jawab, "Tiada apa yang kekal dalam dunia ini."

Arwah Pak Samad (A Samad Ismail) menulis, sama ada dalam majalah Gila-Gila atau Gelihati, tahun '80an dulu, 'Semua yang baru pasti akan bertukar menjadi buruk.'

Dan aku setuju. Amat setuju.

Aku baru sembilan tahun dalam industri ini. Kira manusia pertengahan, dengan jangkamasa pengalaman terbatas. Namun, aku sudah membuat banyak beda dan melihat banyak perkara.

Aku sudah bekerja tetap di empat syarikat media bersaiz besar, juga beberapa yang lebih kecil. Dapat aku simpulkan yang semua tempat sama sahaja, cuma yang lain hanyalah duit yang dibayar dan diri sendiri.

Aku mengelak rasa bosan dengan mencuba pelbagai benda baru. Aku tertarik dengan Internet dan media sosial, aku buat kerja itu. Aku syok tengok kamera, aku usung kamera. Aku suka editing, aku buat editing. Aku suka filem, aku tulis filem. Aku suka buku, aku tulis buku.

Aku cukup bernasib baik sebab semua yang aku ingin buat, ada saja jalan yang aku jumpa. Aku bersyukur, sebenarnya.

Bagi aku, peluang bukan hanya apa yang ada di depan, tetapi semua isi dunia ini. Seluruh jirim alam semesta, semua pintu, semua denai, menunggu ketukan yang ikhlas. Kuncinya hanyalah apa yang di depan kita setiap hari. Jaga apa yang di depan, dan terkedepan akan tersusun sendiri.

Jadi, aku tidak menetapkan atau menaruh harapan stabiliti pada mana-mana industri atau syarikat, mahupunn manusia. Stabiliti aku, aku tetapkan dalam diri sendiri, sebab tulang empat kerat ini jugalah yang aku usung ke hulu dan ke hilir.

Daripada segi kerohanian, aku sentiasa mengingat Tuhan. Bukan Tuhan yang diperkatakan mereka yang aku kira sudah sesat, bodoh atau terencat, tetapi kewujudan, kehadiran yang aku rasa sendiri. Pemahaman aku tentang apa itu Tuhan.

Aku tidak mengimpikan syurga, mahupun bersedia untuk neraka. Aku hanya berdiri, memerhatikan dunia menari.