Monday, December 26, 2011

Bandar Dosa: Syaitan Mengaji Pada Dini Hari

Aku hela nafas aku dalam-dalam. Tarik supaya lebih dua ribu bahan kimia menekan diaphragm, menekan alveolus, bronkiol dan bronkus. Rasa seperti paru-paru diurut seorang tukang urut Siam. Pakai siku.

Aku merokok di tengah bandar yang penuh kepura-puraan. Banjir sampai ke hidung dengan manusia yang berpura-pura. Perempuan yang mengenakan solekan agar nampak seperti mat salleh, atau seperti watak kartun Jepun. Lelaki yang bersolek supaya kelihatan seperti perempuan.

Yang berserban dan yang memakai rantai salib melintas jalan. Penganut Buddha yang menyembah manusia, walhal agama Buddha tiada tuhan yang pasti, hanyalah jalan ke arah kesedaran hakiki.

Mereka terjerit-jerit perihal bagaimana orang lain itu palsu, tetapi mereka sendiri?

"Tulen, bang." Kata TV yang memainkan filem Mr Os. Di kedai tepi jalan tempat aku minum. Tempat aku tengok orang lalu-lalang sambil pura-pura ahli filasuf.

Aku menghirup teh aku, pasal aku ini watak dalam cerpen urban. Mesti minum teh. Kalau tonggang minum arak, kena jadi artikel keinsafan. Kenalah aku pergi bertaubat di sebuah masjid dengan seorang ustaz yang hanya senyum, mungkin pasal dia kentut.

Sebelum tu kena berdrama dulu dengan keluarga, sambil mak aku pakai telekung putih berdoa sambil menangis. Lepas tu mesti aku cuba curi rantai emas dia, nak buat gadai, pasal nak beli dadah. Pasal kalau minum arak, mesti isap dadah.

Jadi aku minum teh jelah, ya?

Aku perhatikan manusia, dan syaitan dalam diri aku mula bergerak. Perlahan saja, pada mulanya, kemudian keluar dengan penuh kehangatan dan kederasan api neraka.

Syaitan aku menjerit-jerit ke muka aku. Membisikkan rahsia-rahsia dunia dan rahsia kehancuran.

Aku biarkan saja. Teh aku, sudah tinggal separuh.

Syaitan yang sudah penat, duduk di kerusi kosong sebelah aku, capai rokok aku dan dia menyalakan sebatang.

"Tenang kau hari ni?" katanya, selamba.

Aku menarik asap rokok, mengurut peparu.

"Apa pasal kau tak jawab?"

Aku habiskan teh.

Muka syaitan sesekali nampak macam Dave Grohl pakai mekap setan.

"Kau ingat," aku berhenti seketika untuk pastikan syaitan masih mendengar, "Zaman sekarang ni, kau dah cukup jahat?"

"Akulah Tuhan Kegelapan!"

Aku tenung mukanya, yang nampak macam Usain Bolt.

"Hmph. Kau dah ketinggalan zaman. Aku jauh lagi ke depan."

Aku pun balik rumah, dan aku berak. Pastu aku pun tidur awal.

Pada dini hari, aku terjaga dan aku terdengar Syaitan baca Al Quran sambil menangis teresak-esak. Aku sambung tidur.

"Hmph, amatur," bisikku pada diri sendiri.