Wednesday, June 22, 2011

Fixi: Ulasan Novel Cekik

Setelah membaca novel Cekik karya Ridhwan Saidi, ego aku berasa terancam, lantas aku ingin menulis tentang diri sendiri sebelum aku menyentuh novelnya.

Berhati-hati apa yang kau pinta.

Beberapa bulan lepas, aku masuk ke dalam pejabat dan berasa kosong. Aku takde kerja. Aku makan gaji buta. Sebenarnya, aku ada tugas, cuma aku selesaikan dalam masa beberapa jam sahaja. Tidak lagi seperti dahulu, bila aku berhempas pulas untuk menyiapkan sesuatu.

Aku berasa dunia ini kosong, seolah-olah kewujudan aku tiada makna. Lantas, aku meletak jawatan dan keluar ke dunia yang serba luas, tapi telah aku batasi agar tidak melebihi laluan LRT. Lebih dari itu, teksi caj macam orang gila.

Aku ingin menulis novel, menulis filem, siri TV, blablabla. Aku dapat semuanya, sampai aku tiada masa untuk menulis novel, filem mahupun siri TV.

Maka selepas novel Pecah, aku tiada masa untuk buat banyak perkara, termasuk menghabiskan novel Cekik yang sudah aku mula baca lama dahulu.

Aku boleh beri seribu alasa, namun semuanya tidak benar. Aku tak tahu mengapa, tetapi aku terhalang untuk membaca novel ini. Bukan disebabkan prosanya atau cerita/tema/topik novel ini, tapi mungkin sebab aku ni seni habis atau, kalau nak jadi lelaki Melayu, aku salahkan awek aku, pasal aku baru ada awek.

Apapun, Cekik ditulis dengan hebat oleh Ridhwan Saidi. Aku sentiasa rasa tidak selamat semasa membaca novel ini, sebab aku tak tahu apa yang Ridhwan akan tulis lepas itu. Aku tak tahu ke mana pulas ceritanya, ke mana jatuh/timbul wataknya.

Oleh itu, aku sentiasa terhibur dengan penceritaan Cekik.

Temanya agak berat dan lucah. Cukup kalau aku katakan yang novel ini diasaskan secara longgar daripada kisah Oedipus. Bukan itu saja. Ada banyak elemen onani, liwat, sumbang mahram dan fetish yang diusulkan oleh Cekik.

namun, ini bukan pornografi. Istilah pornografi lebih mendalam daripada hanya berlandaskan seks. Pornografi itu bukan lucah, tetapi melucahkan. Malah, isu bangsa juga pornografi. Contoh, berita paderi Kristian ingin menjadikan agama mereka agama rasmi, pada aku adalah pornografi.

Perkasa dengan laungan agenda mempertahan dan memperkasakan hak orang Melayu, bagi aku, adalah pornografi.

Apabila pihak Pakatan Rakyat MUNGKIN telah memanipulasi undian di laman web The Star atau apabila kerajaan DAP cuba mengubah cara pemilihan anggota masjid di Pulau Pinang - bagi aku ini semua pornografi.

Video seks 'Anwar Ibrahim' bukan pornografi, bagi aku. Usahanya selama lebih 20 tahun meyakinkan rakyat Malaysia yang dia tidak berdosa, dan menjadi mangsa aniaya politik orang lain, bagi aku adalah pornografi.

Ingat, pornografi itu tidak semestinya lucah, tetapi melucahkan. Bagi aku lah. Pada pandangan aku.

Jadi, elemen lucah dalam Cekik, walaupun menjadi tema tumpuan, tidak menjahanamkan penulisan prosa yang begitu menarik dan berkesan. Bagi aku, sekali imbas, antara semua buku Fixi setakat ini, prosa Ridhwan mungkin ada keliatan dan keteguhan sendiri berbanding yang lain.

Bagi aku, struktur ceritanya tidak penting, dan ditulis seperti hanya mengikut ulitan perasaan sesuka hati. Namun, untuk yang meneliti dengan 'mata burung', mungkin ada rongga-rongga kecil yang tidak rapat. Namun, bahasa dan penulisan Ridhwan terus menjadi tarikan utama.

Apapun, hanya untuk 18 tahun ke atas, dan yang berfikiran matang sahaja.

NEXT: Penunggang Bertopeng Kougar, Dendam Berahi dan Kasino Di-Raja! (entah bila aku nak abis baca)