Monday, June 7, 2010

Almanak Masakan Bumi dan Langit: Ayam Masak Merah Mengejutkan Serangga Dari Tidur Tapa

Dalam senarai hikmat-hikmat masakan aku, salah satu masakan terhebat adalah Ayam Masak Merah Mengejutkan Serangga Dari Tidur Tapa.

Walaupun penggunaan 'dari' dalam ayat di atas adalah salah ('dari' hanya digunakan dengan tempat fizikal - "Saya berasal dari Kuantan", "Saya berjalan dari Kuantan ke Kuala Lumpur." manakala 'daripada' adalah selain daripada itu - "Pistol ini diperbuat daripada kayu", "Saya lebih kuat daripada Yitzhak Rabin"), namun Ayam Masak Merah Mengejutkan Serangga Dari Tidur Tapa merupakan salah satu masakan yang telah aku sempurnakan dengan Kuasa Tahap Kesempurnaan.

Inilah bahan-bahannya:

1. Ayam. Biasanya seekor, dipotong lapan atau 16. Ayam yang dipotong kecil akan lebih cepat masak dan rasa dagingnya lebih menyerap rempah-ratus yang digunakan. Kalau seekor, agak sukar untuk memastikan segala macam perisa telah 'mesera', kata orang Pahang.

2. Cili merah besar segar - 10 ulas.

3. Cili kering - segenggam.

4. Bawang putih (garlic) - satu labu.

5. Bawang merah (shallots) - lima biji.

6. Bawang besar (onion) - satu biji.

7. Halia - 2cm.

8. Garam secukup rasa.

9. Daun kari - 30 helai (kecil) atau 15 helai (besar)

10. Serai - tiga batang.

Cara memasak:

Masukkan semua bahan (bukan 'semua bahan-bahan'. Kalau dah 'semua', tak payah nak 'bahan-bahan' lagi) ke dalam blender, kecuali daun kari, serai dan garam.

Blender sampai mati.

Tumis minyak dalam kuali. Masukkan bahan-bahan dalam blender tadi ke dalam kuali. Tumis kesemuanya sampai naik bau. Masukkan garam.

Masukkan air 500ml, atau lebih.

Masukkan ayam. Tak perlu tunggu air mendidih. Kacau.

Setelah air mendidih, masukkan serai dan daun kari. Kacau.

Dengan menggunakan Kuasa Tahap Kesempurnaan, pastikan semua perisa dan perasa bergaul sebati dengan ayam.

Ayam tidak digoreng terlebih dahulu, agar boleh menyerap perisa dalam pes yang disediakan. Kalau sudah digoreng, maka sel-sel ayam sudah keras dan tertutup, maka tidak boleh menyerap apa-apa lagi.

Kacau sampai masak.

Yay!

Ayam masak merah yang terhebat adalah ayam masak merah yang bersebati dengan pes yang disediakan. Rasa ayam bersatu dengan pes merah menjadikan hidangan ini antara hidangan ayam terhebat.

Masaklah dengan semangat api membara.