Friday, February 6, 2009

Monyet Mencuri Buah Pic

Aku mengambil cek aku, dan terserempak pula dengan barisan pelakon yang akan terlibat dalam filem aku.

Ingin juga aku duduk dan mendengar kata mereka, tetapi bimbang sekiranya kehadiranku tidak akan disenangi oleh orang lain. Kerana aku tidak dijemput, maka mungkin ada sebabnya kehadiran aku tidak disenangi.

Mungkin dalam sesi ini, mereka akan merobek skrip aku atau ada yang ingin mengubahnya sendiri? Aku tidak tau.

Tambahan pula, memandangkan aku punya banyak skrip lain yang perlu ditulis, dan cek ini harus dibankkan segera, juga aku perlu menyusun agenda untuk ribut taufan penulisan yang akan aku buat hujung minggu ini, aku fikir ada baiknya jika aku tiada di sini.

Dalam dunia penulisan, mereka yang kenal aku dan cara aku bekerja akan mengatakan yang salah satu cara aku ialah menulis dengan kepantasan cahaya.

Kalau dalam keadaan yang sesuai, aku boleh menulis banyak benda pada satu masa.

Tabiat ini aku latih semasa aku di The Malay Mail dulu. Editor aku, Alam, akan memaksa aku menulis dengan kepantasan maksimum. Artikel panjang ditulis dengan kepantasan artikel berita kecil.

Tak guna berfikir lama-lama, kalau hasilnya sama sahaja. Kajian, ya, perlu ada. Mengelamun, ya. Merokok, ya. Tapi bila menulis, tak boleh teragak-agak. Percayakan diri sendiri.

Di sini, ego boleh dijadikan senjata.

Aku pernah menulis sampai aku muntah darah.

Aku tak perlu menulis sampai aku muntah darah lagi.

Aku sedang mencari keadaan yang paling optimum untuk aku berkarya. Pantas, tepat dan hebat. Tanpa perlu menjahanamkan diri sendiri.

Keadaan minda yang tenang. Zen. Sementara menunggu, tanpa menanti, satori.

Aku cuma ada beberapa hari lagi sebelum masa untuk menghantar skrip-skrip aku yang berikutnya.

Ada filem dan siri-siri TV.

Harapnya, semua akan menjadi.